Tuesday, December 23, 2014

#369


wahahaha

Jarang-jarang buat post banyak-banyak dalam tempoh sebulan kecuali zaman dahulu kala *cehh. puik*. Dua hari lagi nak Krismas, yeay!!

Credit: n9kini.com
Semalam keputusan untuk PT3 telah diumumkan dan dikhabarkan terdapat ramai murid-murid tingkatan tiga gagal beberapa kertas termasuklah kertas bahasa. Tiada kata yang dapat diucapkan kerana realitinya bukan saya yang menduduki penilaian tersebut dan jika dibandingkan dengan peperiksaan PMR zaman dahulu, rasa-rasanya kertas yang saya duduki dahulu adalah lebih senang walaupun terdapat beberapa soalan yang berbentuk KBKK. Perbandingan ini sebenarnya adalah tidak releven, lebih-lebih lagi sekarang ni soalan penilaian PT3 banyak yang berbentuk HOTS/ KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi). 

Apa-apa pun bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang 9 atau 10 A tu tahniah diucapkan kerana berjaya menjawab kertas soalan generasi pertama PT3 dengan cemerlang. Dan memang bukan calang-calang orang yang dapat straight As berbanding dahulu. Dulu, ada yang belajar sambil lewa pun dapat straight As.

Sebenarnya pada pendapat saya, PT3 tidak seharusnya dilaksanakan tahun ini memandangkan kedua-dua pihak samada dari pihak guru mahupun murid masih belum familiar dengan format sebenar peperiksaan ini. Mereka merupakan batch pertama yang belajar menggunakan kurikulum yang berbeza berbanding dengan batch yang sebelum-sebelum ini. Sepatutnya PT3 hanya dilaksanakan kepada batch pertama yang belajar menggunakan kurikulum baharu, KSSR, iaitu murid-murid yang sekarang ni berada di Tahun 4 pada tahun 2014.

Pelaksanaannya yang mengejut dan tidak dirancang dengan baik telah menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada murid-murid, bahkan juga kepada para guru yang mengajar matapelajaran tingkatan 3. Kesannya seperti apa yang kita dapat lihat sekarang ini iaitu penurunan secara menadak bagi keputusan penilaian awam PT3 bagi tahun 2014. Ini bukan sahaja menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam diri murid-murid dan juga guru, tetapi juga golongan ibubapa yang mempunyai anak di tingkatan tiga. 

KSSR dan KSSM sebenarnya adalah merupakan langkah terbaik yang telah dilaksanakan oleh pihak kementerian dalam meningkatkan mutu pendidikan negara, seiring dengan tujuan dan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Mungkin pelaksanaannya sahaja yang perlu dilewatkan agar tidak menjadi satu kegagalan kepada negara dalam bidang pendidikan. Bukankah menjadi hasrat negara untuk meningkatkan pencapaian negara dalam penilaian peringkat antarabangsa seperti TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan juga PISA (Programme for International Students Assessment) yang mana sekarang ini Malaysia berada di kedudukan yang lebih rendah berbanding negara seperti Vietnam. 

Nampak tak di mana taraf pendidikan negara kita berbanding sebuah negara yang sebelum ini pernah memandang tinggi taraf pendidikan negara kita? Walhal negara tersebut pernah menjadikan negara kita sebagai contoh pada suatu masa yang lampau dan meminta negara kita untuk membantu dalam membangunkan pendidikan negara mereka.

Oleh itu, pelaksanaan PT3 harus diteruskan dan standard soalan peperiksaannya juga harus dikekalkan bagi merealisasikan impian negara dalam melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang selain daripada melatih anak-anak generasi baharu untuk berfikir pada aras yang lebih tinggi agar dapat bersaing dengan adil di arena antarabangsa. 

Mungkin pelaksanaannya perlu diperkemaskan bagi tidak mewujudkan permasalahan yang sama berulang lagi pada tahun hadapan. Sedikit demi sedikit penambahbaikan perlu dilaksanakan dan berikan masa bagi membaikpulih kesilapan-kesilapan yang dilakukan semasa pelaksaan pertama PT3. Para guru dan murid juga seharusnya bersikap lebih proaktif dalam meningkatkan dinamik pengajaran dan pembelajaran di sekolah agar dapat bergerak seiring dengan hasrat negara dalam memajukan negara.

Kesimpulannya, pelaksanaan PT3 untuk kali pertama ini agak tidak memuaskan dan tidak seperti yang diharapkan. Namun, langkah-langkah penambahbaikan boleh dilaksanakan pada tahun hadapan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat, terutamanya dari pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), sekolah dan juga ibubapa. Semua pihak tidak seharusnya memandang enteng dan memerlekehkan usaha kementerian dalam meningkatkan mutu pendidikan negara, tetapi berusaha bersama-sama untuk memastikan pelaksanaannya kelak adalah lebih berjaya.

Sebenarnya, sampai bila kita harus duduk di zon selesa sekiranya kita benar-benar berhasrat untuk berjaya?


0 comments:

Post a Comment